TAWAU – Masa depan golongan belia akan terus cemerlang dan gemilang jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk meneraju kepimpinan negeri dan negara, kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat.
Beliau berkata kerajaan BN sentiasa mengambil berat keperluan golongan belia apabila pelbagai inisiatif dalam manifesto BN diperkenalkan untuk memperkasa belia, seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Kita harap belia sedar yang selama ini kerajaan telah banyak membantu mereka dalam pelbagai bidang baik dalam keusahawanan mahupun kesukanan,” katanya pada Majlis Kupi-Kupi Belia bersama pemimpin yang dihadiri kira-kira 200 belia dan beliawanis di sekitar kawasan DUN Tanjong Batu di sini hari ini.
Katanya, belia perlu berfikir jauh ke hadapan dan tidak membuat pertimbangan terburu-buru dan melihat pimpinan yang selama ini membela nasib belia dalam semua aspek sama ada keusahawanan, sukan dan pendidikan.
“Aspirasi semua belia penting dalam melakar kejayaan negara pada masa hadapan sebab itu pimpinan BN tidak pernah mengambil ringan suara belia sebaliknya digunakan untuk membangunkan serta memajukan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamisa meminta agar golongan belia yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunaikan hak masing-masing pada 9 Mei ini.
“Jangan sia-siakan peluang yang diberi untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara dengan mengundi calon serta parti yang telah terbukti membela dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya lagi. – BERNAMA