MARANG – Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar yang bertugas di hari kedua pada hari ini meninjau kawasan nelayan dan mendengar masalah berkenaan muara Sungai Merchang, di sini.
Dalam lawatan itu, beliau memberi jaminan untuk memantau projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara sungai itu bernilai RM43 juta agar dapat disiapkan dua tahun lagi dan mengarahkan ia bermula akhir tahun ini.
Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kontraktor terlibat juga telah memberi komitmen untuk memastikan sepanjang tempoh pembinaan itu, nelayan dapat keluar masuk ke laut tanpa sebarang masalah.
“Kita berharap masalah laluan keluar masuk bot nelayan itu akan diselesaikan pada ketika pembinaan bermula. Kita juga akan pantau projek ini agar tidak berlaku sebarang kelewatan dalam pembinaan benteng (pemecah ombak) itu nanti kerana ini adalah antara masalah rakyat yang diberi keutamaan untuk diselesaikan,” katanya selepas mengadakan tinjauan di muara Sungai Merchang hari ini.
Turut serta dalam tinjauan itu ialah Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.
Sementara itu, Pengerusi Program Sukarelawan Perikanan (SUPER) Merchang, Mohd Nasir Salleh berkata masalah muara cetek itu telah menjejaskan punca pendapatan lebih 300 nelayan dari tiga kampung berdekatan.
“Nelayan dari Kampung Merchang, Kampung Gong Balai dan Kampung Alur Tembesu menggunakan muara ini sebagai laluan keluar masuk bot ke laut.
“Kami terpaksa keluar ke laut seawal 4 atau 5 pagi setiap hari dan pulang sekitar pukul 1 atau 2 petang kerana bimbang tidak dapat masuk ke muara sekiranya air surut… ini menyebabkan pendapatan nelayan terjejas teruk iaitu sekitar RM200 hingga RM400 sahaja sehari berbanding RM700 hingga RM800 sehari sebelum ini.
“Jika terlewat dari masa yang sepatutnya, nelayan terpaksa menunggu sejam atau dua jam untuk masuk ke muara bagi mendaratkan ikan dan masalah ini memang meresahkan kami semua sejak 30 tahun lalu,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Othman Jusoh, 61, berkata masalah muara cetek menyebabkan nelayan sentiasa berdepan risiko kerosakan enjit bot sekiranya terkena dasar sungai.
“Jadi, sekiranya air surut, kami terpaksa bergotong royong menolak bot masing-masing yang mengambil masa antara 30 minit hingga sejam, bergantung pada keadaan dan berat muatan hasil tangkapan ikan.
“Sebab itu, kami sangat berharap agar masalah muara ini dapat diselesaikan dengan segera agar 300 nelayan di sini dapat turun ke laut tanpa perlu bimbang risiko yang perlu ditanggung,” katanya. – BERNAMA