SIAPAKAH yang bakal menjadi Menteri Besar Selangor masih lagi belum dapat ditentukan rentetan daripada desas-desus yang mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan jawatan itu.
Timbalan Presiden PKR itu telah disenaraikan sebagai anggota jemaah kabinet dengan menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin masih belum lagi membuat keputusan secara muktamad.
Kaitan:Â Menteri Atau MB, Azmin Menghadap Sultan Selangor
Bagaimanapun lapor Astro Awani, terdapat beberapa individu yang bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu jika jawatan itu dikosongkan.
Antaranya ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, calon Menteri Besar Selangor perlulah disandang dalam kalangan paling senior.
“Selain Amirudin Shari, pilihan lain mungkin seorang lagi Exco kerajaan negeri, Dr. Shaharuddin Badaruddin.
“ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei juga antara nama yang disebut-sebut namun tidak pasti mengapa namanya tidak disenaraikan sebagai Exco pada penggal kali ini,” ujarnya.
Tambah beliau, jawatan Menteri Besar barang kali boleh dibuka kepada parti komponen lain yang berkelayakan jika PKR bersetuju dengan parti-parti lain.
Sementara itu Amirudin memberitahu, dia mahu Mohamed Azmin kekal menjadi Menteri Besar Selangor.
“Secara peribadi saya harap supaya beliau kekal terus menerajui Selangor kerana pengalamannya masih diperlukan namun kita tidak boleh halang jika khidmatnya lebih diperlukan di peringkat pusat,” jelas Amirudin.
Menurutnya lagi, pengganti Mohamed Azmin belum dibincangkan buat masa kini kerana pengumuman sebagai jemaah menteri itu berlaku dalam tempoh singkat dan perlu memberi ruang pucuk pimpinan pusat untuk membuat keputusan.
Sekitar 11.50 pagi tadi, Mohamed Azmin tiba di Istana Bukit Kayangan bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan perkembangan terkini kedudukannya selepas tersenarai dalam kabinet Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. – MYNEWSHUB.CC/MIZE