PORT DICKSON – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyeru masyarakat supaya bertindak sebagai mata dan telinga kepada badan itu sekiranya mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku melibatkan anggota penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan.
Pengerusi EAIC, Datuk A. Aziz A. Rahim berkata ramai orang keliru dengan peranan EAIC kerana wujudnya agensi lain yang mempunyai fungsi teras yang agak sama namun pihaknya merupakan suruhanjaya yang perlu dirujuk sekiranya terdapat aduan berkaitan agensi atau anggota penguatkuasa.
“Maka dengan program Jejak Mesra EAIC pada hari ini adalah untuk memperkenalkan EAIC kepada masyarakat, meyakinkan komuniti tempatan mengenai pihak kami sebagai saluran utama untuk mereka membuat aduan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab mereka dalam melaporkan sebarang salah laku.
“Jika sebelum ini orang awam mungkin takut dengan tindak balas atau kurang yakin dengan tindakan yang diambil oleh agensi penguatkuasaan tersebut, kewujudan EAIC boleh mengatasi masalah tersebut kerana pengadu tidak perlu berurusan dengan pelaku atau agensi tersebut,” katanya pada sidang media selepas Program Jejak Mesra EAIC Port Dickson di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, M. Ravi dan Pengarah Operasi EAIC, Datuk Muhammad Bukhari Ab. Hamid.
Selain daripada melayari laman sesawang EAIC untuk membuat aduan, orang ramai juga boleh melaporkan salah laku penguatkuasa di laman media sosial pihak EAIC iaitu di Facebook, Instagram, Twitter manakala aduan melalui penghantaran surat juga turut dialu-alukan.
“Segala maklumat berkenaan pengadu akan dirahsiakan dan dilindungi oleh pihak kami maka orang ramai tidak perlu berasa takut untuk melaporkan aduan kerana pihak kami ingin menambah baik sistem penyampaian yang telus dan berintegriti di kalangan agensi penguatkuasaan.
Setiap aduan yang pihak kami terima akan disiasat segera dan sekiranya aduan tersebut terbukti, kita mempunyai tiga pilihan. Pertama, jika aduan tersebut melibatkan perlakuan jenayah maka kita akan laporkan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mereka jalankan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata pilihan kedua adalah jika melibatkan unsur rasuah maka mereka akan laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan seterusnya manakala pilihan ketiga adalah kesalahan salah laku dari segi perlanggaran tatatertib maka pihaknya akan laporkan kepada badan disiplin organisasi yang berkenaan.
Pada program sehari itu, terdapat kaunter pameran oleh pihak EAIC, Jabatan Alam Sekitar dan sesi sembang santai pegawai EAIC bersama penduduk setempat yang hadir. – BERNAMA