SEMALAM, gempar dengan berita penemuan 72 beg berisi wang tunai pelbagai mata wang asing dan barang kemas serta 284 kotak berisi tas tangan jenama mewah selepas serbuan polis dilakukan ke atas 3 buah kondominium mewah Pavilion Residences di ibu negara.
Menurut polis, unit kondominium yang diserbu itu adalah milik seorang “Tan Sri” dan bukannya milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Identiti “Tan Sri” terbabit bagaimanapun tidak didedahkan.
Namun, kini tersebar pula satu nama yang tertera pada kotak-kotak tas tangan mewah tersebut iaitu “Datin Cindy” yang menjadi tanda tanya.
Apa yang pasti, “Datin Cindy” itu semestinya amat kaya dan mempunyai pengaruh yang kuat di negara ini atas hubungannya dengan hartawan-hartawan terkenal Malaysia.
Jika benar kesemua beg tangan itu adalah kepunyaan Datin Seri Rosmah Mansor, mengapa kotak-kotaknya dilabel dengan nama wanita lain?
Tidak mungkin kesemuanya merupakan ‘pemberian’ seorang sahabat kerana ianya memang tidak masuk akal.
Dalam pada itu, meskipun polis menegaskan serbuan ke atas tiga unit kondominium mewah di Pavillion ada kaitan dengan siasatan ke atas One Malaysia Development Berhad (1MDB), namun belum ada pembuktian barang-barang berharga yang dirampas adalah milik Najib dan Rosmah.
Bagaimanapun, pelbagai spekulasi tidak berasas dibuat orang ramai sejak serbuan itu dilakukan beberapa hari lalu.
Meskipun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh telah menjelaskan bahawa kondominum mewah itu bukan milik Najib.
Tetapi propaganda media pro-Pakatan Harapan terus mengarahkan tumpuan kepada Najib dengan bait ayat seperti “kediaman yang dipercayai milik bekas PM”, “dalam siasatan yang ada kaitan dengan 1MDB”, dan sebagainya.
Siapa sebenarnya Datin Cindy yang tertulis di kotak-kotak rampasan tersebut? Identiti pemilik nama tersebut masih belum dapat disahkan secara rasmi walaupun cakap-cakap tidak sahih mengenai empunya badan itu sedang rancak dimainkan di Internet.
Belum ada sebarang pembuktian semua rampasan itu berkaitan dengan Najib atau 1MDB, tapi tengoklah bagaimana permainan persepsi yang dihidang oleh media pro-PH (salah satunya milik kroni si diktator) ini menyiarkan ‘live streaming’ selama lebih 3 jam.
Ini modus operandi yang hampir sama dengan apa yang berlaku 20 tahun lalu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas membuktikan hati tua sang diktator tidak pernah berubah dalam menggapai misi peribadi dan dendam kesumatnya. – MYNEWSHUB.CC