MISTERI kehilangan seorang warga Singapura yang hilang semasa menyertai satu acara berbasikal di Ipoh, Perak pada Ahad lalu akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui maut, petang semalam.
Mayat Abdul Samat Ismail dijumpai jam 1.50 petang semalam oleh sekumpulan sukarelawan yang ditugaskan mencari mangsa di sebalik belukar yang terletak 10 meter dari jalan utama yang menjadi laluan pulang ke RTC Gopeng.
Ketua Polis Perak, Ahmad Tarmizi Shaari berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari basikal yang ditunggang selepas tiba-tiba pengsan sejauh 13 kilometer dari garisan penamat di Gopeng, Perak.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat dan pihak polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian mangsa.
Menurut satu rayuan yang dimuat naik di laman Facebook Perak Century Ride 2018, Abdul Samat dilaporkan hilang sewaktu perlumbaan sejauh 160 kilometer itu memasuki fasa akhir.
Pihak penganjur berkata, Abdul Samat merupakan salah seorang dari 20 warga Singapura yang menyertai perlumbaan tersebut.
Bagaimanapun semasa perlumbaan, mangsa mengadu kakinya sakit dan memutuskan untuk berehat di Stesen 4 yang terletak di antara Seputeh dan RTC Gopeng sekitar jam 1.45 petang.
Justeru, rakan mangsa yang bersamanya ketika itu meneruskan kayuhan ke garisan penamat dan meninggalkan kerana menganggap Abdul Samat akan meneruskan kayuhan selepas berehat.
Namun, apabila beliau tidak muncul di garisan penamat sekitar 3 petang, rakan-rakannya cuba menghubungi Abdul Samat tetapi tidak dijawab. Mereka kemudiannya membuat laporan polis pada jam3.30 petang selepas mangsa masih tidak muncul.
Seramai 50 orang anggota polis melakukan operasi mencari mangsa pada Selasa dengan bantuan anjing pengesan. Malah, seramai 20 hingga 30 orang sukarelawan juga membantu pencarian polis namun buntu.
Mangsa akhirnya ditemui pada Rabu petang dan keluarga mangsa juga dilaporkan telah terbang dari Singapura untuk membawa pulang jenazah mangsa. – MYNEWSHUB.CC/EZ