NASIHAT… Warga siber ditegur supaya memelihara kemuliaan bulan Ramadan dengan elak berkongsi perkara yang boleh mengaibkan orang lain dan mengeluarkan perkataan tidak baik.
Ini terutama melibatkan kes siasatan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri di ibu negara semalam.
Beliau mendapati banyak akaun laman sosial seperti Facebook, menyaksikan netizen tidak segan silu mengeluarkan kata-kata yang mengaibkan sebagai respons terhadap perkembangan kes siasatan melibatkan mantan pemimpin itu.
“Saya tidak bertujuan untuk menyokong mana-mana pihak tertentu akan tetapi saya berasa amat kesal apabila dalam kalangan umat Islam sendiri seolah-olah sudah terlupa bahawa mereka sedang berpuasa.
“Tuntutan puasa tidak sahaja menahan diri daripada makan dan minum, namun yang penting memelihara hati, perasaan dan cara kita mengolah perkataan kita terutamanya menerusi laman-laman media sosial.
“Biarlah pihak polis menjalankan tugas mereka dan sebagai warga netizen, kita tidak berhak untuk menjatuhkan hukuman sehingga memberikan aib kepada orang lain,” jelas Zulkifli kepada pihak media tempatan.
Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Program Quran Hour A Night With Mufti anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Istana Budaya di Lambang Sari, Istana Budaya.
Turut hadir ialah wakil Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdurrahman Harfi; Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Hampir 400 umat Islam hadir termasuk selebriti tanah air iaitu Datuk Khalid Mohd. Jiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Abdul Rahman Hassan, Norman Hakim, Heliza Helmi, Ashraff Muslim dan Adam Corrie.
Mereka turut membacakan surah Al-Hujurat beramai-ramai, sebagai surah tema program Quran Hour. Sesi tadabbur dan tazzakkur al-Quran dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail.
Mengulas dengan lebih lanjut, Zulkifli turut meminta supaya pengguna media sosial supaya lebih tumpukan perhatian terhadap menambahkan amal ibadah dan mengejar ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan.
Sambil itu ujar beliau lagi, mereka diseru agar memohon kepada Tuhan supaya dapat menutupkan aib serta melebihkan rahmat dan kasih sayang sesama umat Islam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA