BARU-BARU ini terdapat desas-desus yang mengatakan pelawak terkenal, Nabil Ahmad bakal mengundurkan diri sebagai pengacara program hiburan, MeleTOP.
Mengakui terkejut dengan perkara itu, Nabil pada masa sama mendakwa dia sama sekali tidak tahu-menahu berhubung gosip itu malah tiada sesiapa daripada pihak produksi memberitahu kontraknya bakal ditamatkan.
Jelas pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad itu lagi, kontraknya sebagai hos sehingga tahun 2019.
“Saya sendiri tidak tahu menahu. Ini adalah kali pertama saya dengar mengenainya. Pihak produksi pun tidak pernah kata apa-apa dan sekiranya benar saya perlu mendengarnya daripada mereka.
“Apa-apa pun saya anggap ia sebagai gosip semata-mata kerana kontrak saya pun masih ada sampai 2019,” katanya dipetik mStar Online.
Dalam pada itu, Nabil memberitahu dia juga belum berhasrat atau merancang untuk meninggalkan tugasnya seperti mana yang digembar-gemburkan kerana menyukai tugasnya sebagai hos program itu.
“Saya sayangkan MeleTOP, saya sudah terlalu lama bersama semua yang terlibat untuk meninggalkan program itu begitu sahaja,” ujar Nabil.
Sementara itu berkongsi perkembangan terbaharu, Nabil berkata telefilem terbitan syarikat produksinya, Nabil Ahmad Production iaitu The Hantus bakal menemui penonton di Astro pada Aidilfitri nanti.
Selain itu dia juga dikatakan bakal muncul dalam beberapa program raya termasuk MeleTOP Raya dan Gegar Vaganza Raya. – MYNEWSHUB.CC/AM