PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai solat sunat hajat bersempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Masjid At-Taqwa di sini.
Solat hajat bagi memohon kelancaran proses pengundian PRU14 pada esok itu diadakan sejurus solat Maghrib dan diimamkan oleh Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan.
Selepas selesai doa, Najib yang diminta menyampaikan ucapan menitipkan penghargaan kepada jawatankuasa masjid yang menganjurkan solat hajat itu serta penduduk setempat kerana memberikan sokongan dengan memenuhi ruang solat.
Beliau berkata doa dan sokongan masyarakat amat penting dalam menempuh cabaran sebagai seorang pemimpin.
“Semoga dengan doa dan sokongan ini kita dapat letakkan kebaikan dan agama pada kedudukan yang tinggi,” kata perdana menteri.
Najib turut memohon maaf kerana tidak dapat sama-sama mendengar tazkirah kerana perlu pulang bagi menyelesaikan beberapa perkara sebelum tampil secara langsung di televisyen menyampaikan amanat terakhir PRU14. – BERNAMA