KUANTAN – Seorang nelayan warga Kemboja ditemui mati lemas berhampiran Jeti Batu Tiga, Pulau Biawak di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata mayat Houen Him, 37, itu ditemui terapung pada kira-kira 7.35 malam di belakang bot nelayan pada jarak 20 meter dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa sebelum itu dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dari bot nelayan yang sedang ditambat di jeti itu pada pukul 11 malam Isnin lepas.
“Pihak Bomba yang menerima laporan tentang kejadian itu pada kira-kira 11.34 pagi semalam kemudian melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Operasi melibatkan 38 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…