KESAL… Dua badan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Telugu di Malaysia kesal dengan tindakan netizen pro-Pakatan Harapan (PH) merujuk bahasa minoriti itu sebagai Bangladesh.
Media melaporkan Persatuan Telugu Malaysia tidak berpuas hati dengan penyebaran secara luas gambar kain rentang didakwa konon tulisan bahasa Bangladesh digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Naib Presidennya, S. Sathiah dipetik berkata, perkataan yang tertera di kain rentang tersebut adalah ayat dalam bahasa Telugu iaitu bahasa ibunda komuniti berkenaan di sekitar kawasan Parlimen Bagan Datuk di Perak.
Beliau yang merupakan Ketua Pemuda MyPPP berkata, tidak menjadi satu kesalahan jika tempoh berkempen ada parti menggunakan bahasa ibunda bagi memudahkan masyarakat di kawasan sekitar untuk lebih faham mesejnya.
“Perkataan pada kain rentang itu sebenarnya memang adalah dalam bahasa Telugu. Komuniti penutur bahasa Telugu adalah kedua paling besar dalam kalangan kaum India di seluruh Malaysia selepas bahasa Tamil.
“Malahan komuniti penutur Telugu di Bagan Datuk sangat menyenangi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Bagan Datuk.
Baca: Najib Tempelak Pihak Fitnah Kain Rentang BN
“Beliau juga memang mendekati komuniti kami dengan menggunakan bahasa ibunda kami sendiri menerusi pemasangan kain rentang sedemikian,” kata Sathiah seperti dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam.
Pada Ahad lalu, gambar kain rentang kempen PRU ke-14 yang digunakan BN di Bagan Datuk didakwa menggunakan bahasa Bangladesh sehingga jadi tular dalam kalangan pengguna media sosial untuk dihasut benci pihak kerajaan.
Perkara itu mendapat reaksi pantas pelbagai pihak termasuk digunakan sebagai alat untuk hentam kerajaan oleh pemimpin dan penyokong pembangkang berlogo PKR itu konon pengundi ‘hantu’ Bangladesh memang wujud.
Bagaimanapun isu itu segera ditempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi catatan Twitter sambil menyifatkan ia sebagai contoh fitnah pembangkang yang terdesak akibat tiada bahan kempen politik.
Sementara itu, Presiden Yayasan Telugu Malaysia, Datuk Dr. R. Kantharao Ackunaidu turut dilaporkan menggesa netizen terbabit supaya mendapatkan pengesahkan sebarang maklumat atau berita sebelum menyebarkannya.
Katanya, mesej bahasa Telugu pada kain rentang itu amat jelas mempromosikan kesatuan dan meminta masyarakat untuk mengundi BN yang banyak berjasa membela nasib rakyat pelbagai kaum. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA