ALHAMDULILLAH dan tahniah diucapkan kepada tonggak utama drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz iaitu Niena Baharun yang kini sah hamil cahaya mata pertama.
Perkhabaran gembira itu dikongsi oleh pelakon wanita berusia 25 tahun itu menerusi sebuah entri di laman Instagram miliknya yang dimuat naik kelmarin.
Menerusi entri berkenaan, pemilik nama sebenar Amaniena Baharun itu memberitahu bahawa usia kehamilannya itu kini telah pun menjangkau usia 13 minggu.
“Ini merupakan kehamilan pertama saya, Alhamdulillah sudah 13 minggu. Semoga anak ini menjadi anak yang soleh atau solehah, sihat sempurna, cergas fizikal dan minda,” kongsi Niena.
Sehubungan itu, Niena meminta kepada orang ramai agar mendoakan dirinya dan anak dalam kandungan berada dalam keadaan sihat dan segala urusan dipermudahkan.
“Doakan saya agar semua dipermudahkan, Insha Allah, amin,” ujarnya lagi.
Niena dan suami, Aliff Firdaus Abdul Hadi mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu di kampung halamannya Kota Bharu, Kelantan. – MYNEWSHUB.CC/AM