SEREMBAN – Gerak kempen PAS di Negeri Sembilan kini lebih tertumpu kepada sesi ceramah kepada kumpulan kecil berbanding ceramah umum ketika berada dalam pakatan pembangkang – Pakatan Rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya 2 negeri, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata sejak keluar daripada pakatan yang dibentuk PKR, DAP dan PAS sebelum ini, parti perlu mengubah suai cara berkempen untuk meraih seberapa banyak undi.
“Secara keseluruhan, gerakan kempen PAS berjalan seperti biasa cuma dahulunya PAS bergerak dalam Pakatan Rakyat. Kita maklum rakyat mengutamakan publisiti dengan gimik-gimik yang hebat, program yang diadakan seperti reformasi, maka PAS menumpang bersama-sama mempromosikan parti ketika itu (secara besar-besaran).
“Tetapi apabila PAS berada dalam keadaan bersendirian maka gerak kerja kita lebih menjurus kepadaakar umbi (yang lebih kecil),” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra di Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.
Mohd Khairil Anuar, yang juga calon PAS di kerusi Parlimen Rasah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu berkata sambutan masyarakat Melayu terhadap parti itu menampakkan perubahan kali ini berbanding ramai yang menolak PAS kerana pihaknya bekerjasama dengan DAP ketika itu.
“Sentimen kebencian mereka kepada DAP sehingga PAS terpalit sama dengan kebencian itu walaupun mereka suka kepada PAS, tetapi keadaan ketika ini berbeza kerana kita bersendirian dan peluang untuk mendapatkan undi daripada rakyat itu lebih jelas, tidak samar seperti dahulu,” katanya. – BERNAMA