SUAMI isteri warga Indonesia dicekup anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen ketika cuba melarikan diri selepas menjawab salam yang diberikan ketika pemeriksaan di rumah sewa mereka di Kampung Alor Malai, Alor Setar, awal pagi tadi.
Dalam operasi 1 pagi itu, anggota penguatkuasa memberi salam sebelum meminta pintu hadapan rumah dibuka untuk pemeriksaan sebelum disahut lelaki itu yang bersiap sedia untuk lolos melalui pintu belakang.
Pengarah Imigresen Negeri, Zuhair Jamaludin berkata, suami isteri berusia lingkungan 30an itu antara empat yang ditahan dalam Op Mega 2.0 bermula 11 malam itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua mereka melakukan kesalahan menetap lebih masa dalam negara.
Dalam operasi selama tiga jam itu, seramai 59 warga asing pelbagai warganegara diperiksa di 11 rumah sewa di sekitar bandar raya ini.
“Daripada jumlah itu, kami mendapati empat warga asing terdiri dua lelaki warga Myanmar dan seorang lagi bersama seorang wanita warga Indonesia berusia antara 19 dan 48 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Ketika pemeriksaan di rumah sewa di Kampung Gunung Sali, kami mengesan dua lelaki warga Myanmar terbabit menggunakan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu bagi mengaburi anggota penguat kuasa,” katanya.
Zuhair berkata, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Menurutnya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. – myMetro Online