PEKAN – Pekan yang juga dikenali sebagai Bandar Diraja, dahulunya hanyalah sebuah bandar tua yang sarat menyimpan pelbagai lipatan sejarah negeri Pahang dan pernah menjadi ibu negeri serta pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Kedudukan geografi daerah berkenaan berhampiran Sungai Pahang, selain tanah yang subur menjadikan aktiviti penangkapan dan penjualan ikan ketika itu menjadi sumber pendapatan utama penduduknya selain aktiviti pertanian.
Namun landskap pembangunan Bandar Pekan, yang terletak kira-kira 46 kilometer dari Bandar Kuantan, mula berubah wajah setelah Datuk Seri Najib Tun Razak, anak muda berdarah bangsawan, yang berusia 23 tahun ketika itu menjadi Anggota Parlimen kawasan ini.
Bagi Shamsulkahar Abdul Shukor, 51, dari Kampung Jalan Rompin Lama, di sini, berkata sejak itu pembangunan mula mewarnai Bandar Pekan apabila semakin lama semakin banyak projek ekonomi yang dibawa ke situ oleh Najib demi menaik taraf kehidupan penduduk.
“Sekitar tahun 70-an dan awal 80-an yang ada pun ketika itu Kilang Papan Mentiga, dan pasar mini kecil seperti Pekan Ria dan anak muda selain menjadi nelayan dan petani, ada yang berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan.
“Namun apabila Najib menjadi perdana menteri pada 2009, Pekan dilimpahi pelbagai projek pembangunan, termasuk Taman Industri Automotif Pekan di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Penduduk Pekan kini boleh berbangga apabila bandar itu menjadi hab kepada pemasangan kenderaan komersial dan penumpang, pembuatan komponen automotif serta tempat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengurus Projek Jabatan Sosioekonomi di UMP Advanced berkata banyak pemain industri yang terkenal dalam bidang itu kini menjadi ‘penghuni’ di taman berkenaan antaranya Isuzu Hicom Malaysia, DRB Hicom Defense Technology Sdn. Bhd., Mercedes-Benz Malaysia Suzuki dan Volkswagen.
Malah Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom yang dibuka pada Februari 2016 dengan menawarkan ijazah sarjana muda, sarjana, dan program doktor falsafah berkaitan ekosistem automotif turut merancakkan lagi perkembangan sosioekonomi di kawasan ini.
“Kerancakan bidang perindustrian dan pendidikan menyebabkan semakin ramai memilih untuk menetap di daerah ini dan populasi penduduk semakin bertambah, ini dapat dilihat apabila lihat semakin banyak taman perumahan baharu dibuka di dearah ini.”
Sementara itu, Ketua Pelaksana Program Promosi Serambi-Bandar Pekan-Kuala Pahang, Muhammad Anas Aziz, 29, berkata beliau bangga menjadi ‘orang’ Pekan kerana daerah ini juga kini dikenali sebagai gedung ilmu melalui pembukaan pelbagai pusat pengajian dan kemahiran, termasuk Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Universiti khusus dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan serta teknologi itu merupakan cetusan idea Najib semasa beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan dari 1995 hingga 2000.
“Pekan kini menjadi antara tarikan pelancong ke Pahang kerana kita mempunyai banyak produk yang boleh diketengahkan seperti Muzium Sultan Abu Bakar yang menyimpan pelbagai sejarah mengenai Pahang dan Kesultanan negeri ini, Medan Ikan Bakar Kuala Pahang yang menyajikan pelbagai makanan laut dan masakan istimewa Pahang dan Masjid Teknologi Hijau di Kuala Pahang.
“Dalam masa yang sama pembangunan di Pekan jika diperhatikan tidak hanya tertumpu di bandar, malah perdana menteri memastikan setIap pelusuk Parlimen ini dilimpahi pembangunan dalam pelbagai bidang melibatkan semua lapisan rakyat.
“Projek Agropolitan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang, contohnya yang dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) enam tahun lalu, terbukti telah banyak mengubah corak kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.”
Ita Gesek, 36, Orang Asli dari suku Jakun berkata jika sebelum ini pendapatan mereka hanya bergantung kepada hasil hutan dengan pendapatan yang tidak menentu, kini 102 buah keluarga di situ boleh berbangga kerana menerima pendapatan tetap sehingga RM1,200 sebulan dengan kediaman tetap serta pelbagai kemudahan prasarana disediakan kerajaan.
“Hasil penternakan kambing biri-biri Dorper, kehidupan kami banyak berubah, bukan sahaja ada rumah, sekolah pun dekat, dapatlah kami memberikan pendidikan kepada anak-anak supaya masa depan mereka lebih cerah,” katanya.
Mengikut statistik sehingga 10 April tahun ini, Parlimen Pekan mempunyai 88,899 pengundi, dengan 78,232 merupakan pengundi Melayu, 1,784 kaum Cina, 737 kaum India dan 8,146 lain-lain termasuk Orang Asli.
Mengikut pecahan Dewan Undangan negeri (DUN) pula Pulau Manis mempunyai 20,389 pengundi, Peramu Jaya (32,291 pengundi), Bebar (14,968 pengundi) dan Chini (21,251 pengundi).
Parlimen Pekan merangkumi 70 peratus kawasan pedalaman terutama di Bebar, Pulau Manis dan Chini yang antara lain mempunyai penempatan peneroka Felda dan perkampungan orang asli.
Pada PRU14 ini, Najib sekali lagi akan mempertahankan kawasan Parlimen tersebut untuk penggal ke-10 dengan meletakkan sasaran 40,000 undi majoriti berbanding 35,613 majoriti undi pada PRU lepas. – BERNAMA