BAGAN SERAI – Seorang jurudawai elektrik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian di sebuah rumah di Taman Serai Perdana di sini, petang tadi.
Azman Md Noh, 43, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas paramedik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.40 petang sebelum segera ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Ketika tiba di lokasi pemilik rumah memaklumkan mangsa sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di atas siling rumah sebelum rebah dan kaku.
“Ketua Operasi Bomba Penolong Bomba Kanan II, Harmi Abd Rahman dengan beberapa anggota segera menurunkan mangsa dari atas siling rumah menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Nasir berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 3.38 petang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Omar Bakhtiar Yaacob dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. – BERNAMA