SAAT melangkah masuk ke universiti semakin tiba namun masih ada segelintir adik-adik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat tempat dalam permohonan menyambung pelajaran melalui sistem UPU secara online yang lalu.
Jangan risau! Terdapat peluang kedua bagi adik-adik untuk menyambung pengajian di institusi-institusi pengajian awam dan Politeknik Premier dengan mengemukakan rayuan kaedah yang sama melalui UPU Online.
Peluang tersebut dibuka bagi pelajar lepasan SPM bagi sesi akademi 2018/2019 untuk kemasukan universiti awam (UA) dan Politeknik Premier sahaja.
Manakala peluang menyambung pelajaran ke Politeknik Konvensional, METrO, Kolej Komuniti dan ILKA tidak boleh membuat rayuan menerusi UPU Online sebaliknya dikehendaki memohon terus kepada agensi-agensi yang berkaitan.
Permohonan rayuan ini telah dibuka selama lima hari bermula 21 Mei lalu hingga 25 Mei jam 11.59 malam.
Keputusan rayuan ini bergantung kepada kekosongan tempat selepas pendaftaran pelajar baharu di tempat pengajian kelak.
Rayuan boleh dibuat melalui portal rasmi UPU dengan masuk ke pautan http://upu.mohe.gov.my seperti kaedah permohonan sebelum ini.
Terdapat enam cara mengemukakan rayuan iaitu perayu perlu menyemak syarat, masukkan nombor kad pengenalan, kata laluan, pilih dua program yang ingin diikuti, klik sah dan hantar serta cetak slip permohonan.
Jadi, cepat membuat rayuan permohonan ini sebelum terlambat dan sampaikan maklumat ini kepada rakan-rakan yang lain. – MYNEWSHUB.CC/MIZE