KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Cheras akan membuat laporan polis malam ini ke atas pemimpin DAP, Tony Pua yang didakwa mahu mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.
Ketuanya, Johari Yazid berkata, laporan itu berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad baru-baru ini mengenai modus operandi DAP.
“Amran menyatakan Tony Pua perancang utama kepada modus operandi untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada menggunakan video klip pendek berbaur hasutan dan fitnah, risalah melalui WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya.
“Tujuanya adalah untuk menanam kebencian rakyat Malaysia terhadap kerajaan sedia ada dan seterusnya mencetuskan keadaan huru hara di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kelmarin, Amran yang masih bekerja dalam Biro Publisiti DAP mendedahkan, DAP menjalankan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menggunakan nama gabungan pembangkang PKR demi memenangi PRU14.
Beliau mendakwa DAP sengaja memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya dengan matlamat mahu meracuni pemikiran rakyat.
Amran menjelaskan beliau terpaksa membuat pendedahan itu kerana tidak boleh bersetuju dan tidak mahu bersengkongkol dengan strategi jahat DAP tersebut yang akan bertanding menggunakan logo PKR dalam PRU14. – MYNEWSHUB.CC