HASRAT seorang pencuri yang mahu larikan diri dengan helah sembunyi di dalam tandas hampir sejam tidak berjaya apabila penduduk sebuah kuarters di Cheras telah menemuinya.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 12.05 tengah malam tadi melibatkan suspek berusia 30-an cuba mencuri sepasang kasut yang terletak di hadapan sebuah rumah di kuaters berkenaan.
Lapor Berita Harian, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata, suasana di kuaters tersebut menjadi kecoh apabila seorang penduduk menyergah suspek berkenaan.
“Seorang wanita di rumah sebelah ternampak suspek yang dikatakan sedang cuba mengambil sepasang kasut menggunakan payung.
“Wanita itu memaklumkan kepada suaminya yang kemudian menyergah suspek menyebabkan lelaki berkenaan lari,” katanya.
Menurutnya lagi, suspek akhirnya berjaya ditahan selepas seorang penduduk mendapati pintu sebuah tandas awam di kawasan kuarters itu berkunci dari dalam.
Penduduk mula curiga dan bertindak mengetuk pintu tandas berkali-kali bagi mengetahui siapa berada di dalam, namun tiada jawapan.
Kemudian dia cuba menggunakan telefon bimbit mengambil gambar di dalam tandas dan mendapati terdapat seorang lelaki sedang menyorok.
Penduduk mendesak suspek dan akhirnya dia menyerah diri, mengaku bersalah atas tindakannya.
Suspek telah diserahkan kepada dua anggota pihak polis yang tiba di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC/MIZE
*Video sekadar hiasan…