KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan pemilik akaun TH yang tidak aktif melebihi tempoh tujuh tahun untuk mengaktifkan akaun masing-masing sebelum 9 Jun ini bagi mengelakkan akaun tersebut dipindahkan ke kumpulan Akaun Tidak Aktif.
Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji, akaun-akaun yang tidak aktif tidak akan menerima sebarang Agihan Hibah Tahunan atau Hibah Haji mulai tahun ini.
Inisiatif tersebut sebagai langkah keselamatan dan melindungi akaun pelanggan daripada sebarang transaksi yang mencurigakan. Setakat ini, TH telah mengenal pasti hampir 500,000 akaun pendeposit tidak aktif dengan jumlah simpanan RM62.8 Juta.
Menurut kenyataan itu, para pendeposit boleh mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi dalam talian rakan strategik TH (Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank).
TH juga menasihatkan para pendeposit untuk membuat pengemaskinian profil bagi memudahkan TH menghubungi bakal haji atas urusan surat penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta oleh waris.
“Sekiranya pihak TH tidak dapat menghubungi pendeposit, mereka berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan dan perlu menunggu pada tahun seterusnya untuk menunaikan ibadat haji,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA