PANGKOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Teluk Dalam di sini, kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Beliau yang tiba bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, dan anak serta menantunya, kemudian turut berkesempatan beramah mesra dan bersalaman dengan pengundi.
Zambry memecah tradisi sebagai Menteri Besar pertama di negeri ini bertanding di dua kerusi, iaitu Parlimen Lumut, selain akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Parlimen Lumut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zambry dengan calon PKR, Dr. Mohd Hatta Md Ramli, dan Mohammed Zamri Ibrahim daripada PAS.
DUN Pangkor turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau dengan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PKR) dan Zainal Abidin Saad (PAS). – BH ONLINE