KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hanya mampu mengeksport 12 tan metrik mempelam harumanis dan Perlis Sunshine ke Singapura walaupun buah-buahan itu mendapat permintaan tinggi di republik berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata penghantaran pertama sebanyak 4.3 tan metrik pada 3 Mei lepas telah habis dalam masa beberapa hari sahaja.
“Hari ini kita hantar 7.7 tan metrik lagi buah gred premium. Walaupun permintaan menggalakan, kita tidak dapat memenuhinya terutama harumanis kerana pengeluaran tidak banyak,” katanya pada sidang media selepas membuat pelepasan lori membawa buah tersebut ke Singapura di perkarangan pejabat FAMA Perlis di sini, hari ini.
Menurut Ahmad, buah-buahan tersebut dipasarkan Agro Bazaar FAMA dan bazar Ramadan di negara itu.
Harga pasaran harumanis di Singapura adalah antara SGD9 hingga SGD10 satu kilogram manakala Perlis Sunshine atau dikenali sebagai mempelam Sala bagi penduduk di utara ialah SGD3 satu kilogram, tambahnya.
Ahmad berkata FAMA menyasarkan untuk mengeksport 3,000 tan metrik mempelam pelbagai jenis ke Singapura setahun. – BERNAMA