KENYATAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berhubung Piala Dunia 2018 bakal disiarkan menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menjadi bualan pelbagai pihak.
Ini melibatkan kos RM40 juta diperuntukan untuk menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan, di mana hanya 27 perlawanan ditayangkan secara langsung manakala 14 perlawanan lain disiarkan melalui siaran tertangguh.
Tambahan pula, kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru sahaja melancarkan Tabung Harapan Malaysia sebagai modal meraih simpati rakyat konon demi menyelesaikan hutang negara yang diwarisi daripada pentadbiran dahulu.
Justeru ramai netizen tempatan menganggap kerajaan tidak sepatutnya melaburkan puluhan juta ringgit untuk menayangkan perlawanan tersebut dan ini dapat disaksikan melalui banyak komen dalam media sosial.
Baca: Piala Dunia FIFA 2018 Disiarkan RTM Secara Langsung
Dalam pada itu, seorang netizen di media sosial melalui akaun Facebook dikenali sebagai Irmanyadi Idris memberi pandangan berikutan langkah kerajaan dalam menayangkan perlawanan Piala Dunia tersebut.
“Pemegang lesen penyiaran ni ada dua jenis, siaran berbayar dan siaran percuma. Semua urusan penyiaran FIFA di Malaysia dikawal oleh M-League Marketing Sdn. Bhd.
“Kalau ikut dokumen rasmi FIFA, Astro pun kena beli dari syarikat ini yang juga beli lesen siaran daripada Infront Sports, pihak yang diberi tanggungjawab menyelia hak penyiaran Piala Dunia kebelakangan ini.
“Malah lesen penyiaran pula berbeza-beza bergantung kepada jenis siarannya,” kata Iramanyadi menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurutnya lagi sebagai perbandingan dengan negara jiran, Singapore Telecommunications Limited (Singtel), Starhub dan Mediacorp yang terdapat di Singapura turut bekerjasama dalam membeli hak penyiaran.
Namun penonton perlu membeli lesen penyiaran peribadi pada harga mencecah RM333 untuk menikmati kesemua perlawanan secara langsung Piala Dunia tersebut.
Mediacorp akan menyiarkan secara percuma sembilan perlawanan sahaja di Singapura iaitu perlawanan pembukaan, lima perlawanan kumpulan, dua separuh akhir dan satu perlawanan akhir.
Bagi pelanggan siaran Singtel dan Starhub, mereka boleh menonton tanpa kos tambahan bergantung kepada syarat tertentu yang ditetapkan.
Lesen penyiaran di Singapura dibeli pada harga RM75 juta dan kesemuanya melibatkan ketiga-tiga badan tersebut.
Irmanyadi memberitahu, RTM pernah menyiarkan siaran Piala Dunia pada 2014 dengan TV1 mencatatkan pendapatan sebanyak RM15,609,831.00 dan TV2 pula sebanyak RM36,340,566.54 sepanjang tempoh itu.
Justeru kenyataan kerajaan PH yang mengatakan konon akan mendapat pulangan pendapatan sebanyak RM250 juta melalui hak penyiaran perlawanan dilihat agak mengelirukan dan tidak masuk akal.
“RTM telah berjaya mencatatkan jumlah penonton tertinggi semasa siaran Piala Dunia tahun tersebut dengan anggaran 2 juta penonton telah melihatnya. Dari mana akan datang RM250 juta?
“Persoalan aku, kenapa RTM beli 41 lesen perlawanan pada harga siling RM40 juta tapi di Singapura, mereka berjaya beli secara terus dari pemegang lesen pada harga RM75 juta untuk semua perlawanan? Ini patut dijelaskan oleh pihak Kementerian.
“Mengapa di negara kita, penyiar perlu beli dari orang tengah sedangkan di Singapura mereka mengadakan rundingan terus dengan pihak lantikan FIFA?” soal Irmanyadi Idris.
Baginya, kementerian tersebut perlu menjelaskan berapakah amaun yang digunakan oleh RTM dalam membeli hak penyiaran Piala Dunia 2018 seperti temasya sebelum ini supaya rakyat boleh melakukan perbandingan.
Tidak dinafikan usaha kerajaan mahu memberi rakyat tontonan secara percuma namun kerajaan perlu mengambil langkah bijak dan merancang sebaiknya supaya tindakan tersebut tepat dan relevan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE