BANGKOK – Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila membenam Rusia 5-0 dalam saingan peringkat Kumpulan D di Impact Arena, di sini hari ini.
Mata pertama Malaysia diperoleh menerusi pemain perseorangan utama Datuk Lee Chong Wei yang menundukkan Vladimir Malkov 21-9, 21-6 dalam pertarungan yang berlangsung hampir 30 minit.
Chong Wei yang tampil bertenaga tidak memberikan sebarang ruang kepada pemain Rusia itu dan menamatkan perlawanan tanpa banyak masalah.
Pasangan beregu nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tampil di gelanggang dua memberi mata kedua Malaysia selepas berjaya mengetepikan cabaran sengit bekas juara beregu All England Vladimir Ivanov-Ivan Sozonovm 21-18, 21-19.
Mata ketiga dan kemenangan negara disumbang oleh pemain perseorangan muda negara, Lee Zi Jia yang menundukkan Sergey Sirant 21-13, 21-16.
Beregu kedua negara, Aaron Chia- Teo Ee Yi pula mudah menyekat pasangan Evgenij Dremin-Denis Grachev 21-16, 21-9 untuk menyumbang mata keempat negara dan perseorangan ketiga Iskandar Zulkarnain melengkapkan lima mata selepas menyingkirkan Rodion Alimov 21-9, 21-12.
Malaysia akan bertemu Algeria esok sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Denmark pada Rabu. – BERNAMA