KUCHING – Sepucuk pistol separa automatik jenis Smith and Wesson yang ditemukan di dalam tandas Wisma Seberkas Rabu lepas disahkan milik Anggota Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong Soo Kuai.
Beliau berkata selepas menerima laporan kehilangan pistol itu dan siasatan dijalankan, pistol itu disahkan milik Riot.
“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan keterangan daripada Datuk Seri sudah diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rabu lepas, seorang penyelia di Wisma Seberkas membuat laporan polis berikutan penemuan sepucuk pistol bersama enam butir peluru di dalam tandas bangunan berkenaan pada pukul 8 malam.
Sepasukan polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan pistol tersebut kemudian dibawa ke balai untuk siasatan lanjut bagi mengesan pemiliknya. – BERNAMA