KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan gambar pengiraan wang dan barangan rampasan membabitkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tersebar di laman sosial dan media cetak beberapa hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada sidang medianya hari ini menyangkal beberapa maklumat yang tular membabitkan siasatan berkenaan.
“Saya ingin menyangkal maklumat tular berhubung jumlah wang dan barang kemas yang dirampas.
“Ini termasuk jumlah pengiraan wang yang dirampas, perkara itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali,” katanya.
Katanya, polis menjalankan siasatan secara profesional berhubung siasatan 1MDB termasuk pemeriksaan yang dijalankan di rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya.
Mengenai dakwaan bahawa pakaian bayi turut dirampas, Amar Singh turut menyangkal dakwaan bahawa pakaian bayi turut dirampas dalam pemeriksaan tersebut, namun menasihatkan pihak berkenaan untuk mengemukakan bukti pembelian sekiranya barangan tersebut antara yang diambil.
Berhubung dakwaan anggota polis mengambil coklat ketika rampasan dibuat, Amar Singh sekali lagi menyarankan pihak berkenaan untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dibuat dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan tersebut berlaku.
Awal pagi Jumaat lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan di sini yang dipercayai berkaitan bekas perdana menteri dalam siasatan kes 1MDB. – BERNAMA