SHAH ALAM – Polis Selangor sedang menyiasat bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menggantung dua kain rentang bertulis ayat menghina pasukan keselamatan tersebut, awal hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata dua kain rentang tersebut yang digantung di jalan masuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 8 di sini bersifat provokasi dan boleh mencetuskan sentimen kebencian terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami mengesyaki kedua-dua kain rentang itu dinaikkan pihak tidak bertanggungjawab sama ada tengah malam tadi atau awal pagi ini iaitu semasa keadaan masih gelap. Bagaimanapun polis telah menurunkan kain rentang berkenaan serta-merta.
“Saya tak tahu apa matlamat mereka tapi ini perbuatan jenayah dan polis akan kesan siapa yang terlibat kerana kerap kali amaran dikeluarkan supaya jangan usik isu yang boleh mencetuskan sentimen serta provokasi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian Dewan Utama IPK Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat menurut Seksyen 505(a) Kanun Keseksaan.
Kedua-dua kain rentang itu memaparkan wajah calon PKR kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan perkataan menghina PDRM iaitu ‘Polis Malaysia Anjing’ dan ‘Polis Anjing Kepada Kerajaan’.
Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung lapan hari lalu, pihaknya menerima 103 laporan polis berkaitan kes membakar, menurunkan, menconteng dan membaling cat merah ke atas poster-poster calon pelbagai parti selain kes memfitnah parti.
Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan berkaitan kes-kes terbabit setakat ini, katanya.
Mazlan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat tidak sahih khususnya isu-isu lama yang disebarkan semula kerana dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di pusat pengundian di IPK Selangor menyifatkan tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang tersebut sebagai ‘politik jahat’.
Selain Khalid, turut meninjau proses pengundian awal di Dewan Utama IPK Selangor ialah calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani dan calon PKR kerusi sama, Najwan Halimi serta calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.
Mengulas isu sama, Azhari berkata tindakan tidak bertanggungjawab serta provokasi itu umpama mahu memburukkan BN dan beliau menggesa polis mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.
Proses pengundian awal hari ini melibatkan 17,852 pegawai, anggota dan pesara polis kontinjen Selangor.
Mazlan berkata sebanyak 614 anggota dan pegawai di seluruh negeri telah mengundi semalam sebagai pengundi pos dan beliau berharap kontinjen Selangor akan merekodkan 100 peratus hadir mengundi. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…