KUALA LUMPUR – Polis menahan 67 suspek atas pelbagai kesalahan termasuk lima suspek kes ragut, dalam Op Rentap Khas di sekitar ibu negara yang dijalankan selama dua minggu sejak 5 April.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu 62 suspek ialah orang yang dikehendaki polis kerana pelbagai kesalahan.
Beliau berkata operasi dijalankan bertujuan membanteras kegiatan ragut dan samun jalanan.
“Kesemua tahanan itu merupakan hasil pemeriksaan ke atas 2,699 individu, 1,306 motosikal dan 198 kereta sepanjang tempoh operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mazlan berkata perbandingan kejadian kes ragut sepanjang tempoh Op Rentap Khas dijalankan dengan tempoh dua minggu sebelum itu telah menyaksikan penurunan kes sebanyak 23 kes ragut.
“Polis Kuala Lumpur akan meneruskan operasi sebegini bagi memerangi jenayah ragut di ibu negara,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai terutamanya wanita dan warga emas supaya tidak memakai barangan kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah selain tidak berjalan seorang diri bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah jalanan.
Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau sebarang kegiatan ragut di sekitar ibu negara boleh menghubungi Pegawai Team Rentap D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Insp Khairul Azmani Mohd Zain di talian 019-6677653 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460585. – BERNAMA