MENTERI Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyentuh soal perpaduan dan kasih sayang dalam berpolitik seawal perlantikannya menjadi Menteri Besar.
Beliau telah menetapkan slogan ‘Maju Berkat Sejahtera’ dalam mencorak masa depan Terengganu yang meletakkan perpaduan dan kasih sayang sebagai asas.
Slogannya itu diharap dapat mengikis sisa fahaman politik keterlaluan yang memisah hubungan sesama rakyat dan hubungan rakyat dengan pemerintah.
Selain itu, Ahmad Samsuri beranggapan, pendekatan baharu yang diumumkan ini lebih sesuai dengan suasana semasa seiring dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.
“Suasana politik beberapa dekad lalu mungkin sesuai pada waktu itu dengan pendekatan keras, lantang dan tegas namun suasana masyarakat dan politik kini berbeza yang memerlukan pendekatan berbeza.
“Kita akan cuba yang terbaik dalam membudayakan kehidupan Islam segenap bidang, mendahulukan apa yang perlu diutamakan. Tidak drastik agar tidak menimbulkan ketegangan dan kebimbingan,” katanya seperti dipetik sebuah akhbar tempatan.

Ahmad Samsuri mengakui pendekatan ini adalah satu anjakan paradigma dan dia akan berusaha memahamkan masyarakat supaya tidak takut dengan politik dan perubahan.
“Sudah terlalu lama kita berpolitik sehingga berlaku ketegangan, bergaduh antara keluarga dan tak bertegur sapa. Kita nak bawa politik harmoni, kasih sayang dan tak timbul kebencian.
“Tanpa keharmonian timbulah masalah sosial yang lain. Kita harus berani lakukan perubahan dengan politik kasih sayang,” jelasnya lagi.
Sehingga kini, Ahmad Samsuri sedang menyesuaikan diri sebagai Menteri Besar dengan mengambil alih tugas itu bagi mentadbir Terengganu.
Pelatikannya itu dianggap sebagai satu tanda kepercayaan rakyat terhadap dirinya dan PAS yang perlu dipegang sebagai amanah. – MYNEWSHUB.CC/MIZE