KUALA LUMPUR – Akta dan undang-undang berkaitan pusat hiburan perlu dikaji semula bagi memastikan premis terlibat tidak disalahgunakan untuk kegiatan haram, jenayah dan maksiat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, desakan itu dibuat selepas PPIM menyertai 40 siri Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH).
“Akta Hiburan dan Akta Hiburan; Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 serta Undang-undang kecil berkaitan ada kelompongan dan kelonggaran yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu menjalankan aktiviti tidak sihat.
“Kelompongan dan kelonggaran itu juga menyebabkan agensi penguatkuasa tidak dapat bertindak tegas terhadap pusat hiburan besar dijadikan pusat kegiatan haram atau jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, kata Nadzim, PPIM dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menjayakan Op BAH dengan pasukan khas Kementerian Wilayah Persekutuan berpendapat telah tiba semua akta dan undang-undang itu dikaji semula.
Jelas beliau, langkah itu perlu dilakukan bagi memberi agensi penguatkuasa dapat benar-benar mengekang premis dijadikan pusat aktiviti haram, tidak sihat dan jenayah. – MYNEWSHUB.CC