BINTANGO – Rakyat di kawasan Parlimen Sarikei menaruh harapan tinggi terhadap pelaksanaan serta-merta projek Jalan Pasi–Sibu–Tanjung Manis bernilai RM450 juta akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi mereka apabila siap nanti.
Jalan sepanjang 17 kilometer itu termasuk jambatan dua lorong sepanjang 1.2 kilometer merentasi Batang Rajang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan sememangnya sudah lama dinanti-nantikan rakyat di kawasan tersebut.
Seorang warga bandar Sarikei, Abdillah Jhonny, 50-an, berkata, jalan itu apabila siap nanti sudah tentu mampu memacu perkembangan ekonomi penduduk daerah Sarikei dan daerah Belawai yang terletak di Kuala Rajang serta Tanjung Manis secara keseluruhannya.
“Kalau kedua-dua kawasan ini sudah dapat dihubungi, saya jangka ledakan ekonomi akan berlaku kerana perhubungan menjadi semakin mudah, cepat dan jaraknya juga dekat. Pada masa sama saya percaya aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan berkembang serta bergerak pantas.
“Manakala penduduk Daerah Belawai, Daerah Saratok serta kawasan-kawasan sekitar malah Sarikei sendiri tidak perlu lagi pergi ke bandar Sibu seperti mana sekarang untuk membeli-belah kerana pada masa itu nanti banyak pusat-beli bakal wujud di sini,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu membuat perancangan terperinci bagi melengkapi bandar Sarikei dan pekan Bintangor dengan kemudahan infrastruktur perniagaan sebagai persiapan awal menghadapi ledakan ekonomi yang bakal berlaku.
Beliau berkata, impak lain dijangka berlaku daripada pembinaan jalan itu ialah kepesatan industri eko pelancongan di Belawai yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Pada masa sekarang Belawai yang menempatkan perkampungan nelayan daripada kalangan kaum Melanau menjadi tumpuan pengunjung terutama dari bandar Sibu, Sarikei, Bintangor dan kawasan sekitar terutama pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum berikutan terdapat beberapa resort di pantai Belawai.
Pada Ahad lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebaik sahaja selesai menyempurnakan perasmian Program Sejiwa Senada Meradong di Stadium Bola Keranjang Bintangor, membuat pengumuman khas pelaksanaan serta-merta projek jalan tersebut.
Pengumuman itu menjadi satu kejutan dalam kalangan ribuan masyarakat setempat yang hadir dan berita gembira itu tersebar dengan cepat dalam kalangan rakyat di kawasan Parlimen Sarikei.
Projek yang dapat memendekkan masa perjalanan sebanyak 1 jam setengah itu adalah sebagai hadiah kerajaan negeri kepada rakyat di kawasan Parlimen Sarikei di atas sokongan padu mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11) pada 2016 apabila kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok dan DUN Meradong yang sebelum itu dipegang DAP berjaya dirampas kembali oleh BN.
Sementara itu, penjual kereta terpakai Hung Tai Ming,48, dari Sungai Tulai, Bintangor berkata, lokasi jalan tersebut adalah strategik kerana terletak di tengah-tengah antara bandar Sarikei dan pekan Bintangor dan itu akan menguntungkan rakyat.
Beliau melahirkan keyakinan dengan keupayaan calon BN Datuk Seri Huang Tiong Sii untuk menang pada di kawasan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
“Sudah lama saya dengar projek jalan ini hendak dibina tetapi kali ini ia menjadi kenyataan. Pembinaan jalan ini bagus kerana orang Bintangor hendak ke Tanjung Manis tidak perlu ke Sibu terlebih dahulu, jimat masa dan minyak.
“Bukan saja saya seorang yang suka jalan ini dibina tetapi ramai lagi orang dari tempat lain pun setuju kerana jarak akan menjadi dekat. Orang dari Kuching, Sri Aman, Sarikei hendak ke Tanjung Manis boleh terus saja masuk ke jalan itu tak perlu ke Sibu lagi kerana jaraknya tidak jauh,” jelasnya.
Pembinaan jalan di kawasan berkenaan akan dapat membawa pembangunan yang seimbang antara bandar Sarikei dan pekan Bintangor.
Seorang peniaga dari Sarikei, Poi Chee Teck, 40an, yang turut menyambut baik projek itu berkata, ia memberi gambaran jelas pembangunan sudah mula nampak sejak BN memenangi kerusi DUN Meradong dan Repok.
“Jalan ini akan memudahkan saya mengembangkan perniagaan insurans dan perkhidmatan ke kawasan Tanjong Manis. Saya boleh terus berjumpa pelanggan-pelanggan di sana dengan cepat kerana jarak perjalanan sudah menjadi semakin dekat,” katanya.
Kerusi Parlimen Sarikei manyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Huang, penyandang Wong Ling Biu (DAP) dan Wong Chin King (PBK).
Ling Biu menewaskan Ding Kuong Hiing (BN) dengan majoriti 505 undi ada PRU13. – BERNAMA