TASEK GELUGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak termakan dengan janji pembangkang yang bersifat palsu dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh ‘janji tinggal janji’.
Beliau berkata sepanjang kerajaan negeri pimpinan DAP memerintah Pulau Pinang selama 10 tahun, banyak janji-janji yang dibuat dalam manifesto pada pilihan raya umum yang lepas masih belum ditunaikan sehingga kini.
“Rumah mampu milik berapa (sudah dibina)…tak ada. Banjir pula berapa kali melanda negeri ini. Saya tengok 150 kali banjir di Pulau Pinang ini. Rumah yang dibina tepi lereng bukit berapa banyak, jauh lebih banyak (dibina). Kasihan (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dulu kena kutuk, tapi rekod dia menjaga alam sekitar jauh lebih baik daripada DAP.
“Ini tidak termasuk soal banglo, soal terowong dasar laut…tak banyak bab lain. Inilah saya kata jangan termakan dengan (janji) pembangkang. Mereka cuba untuk menyajikan kepada kita janji-janji palsu,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow; pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; calon BN bagi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman; DUN Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Nor dan DUN Telok Ayer Tawar, Datuk Zamri Che Ros.
Berbeza dengan BN, Najib berkata kerajaan BN menunaikan setiap janji yang dibuat dan ia telah terbukti apabila sebanyak 99.4 peratus akujanji BN pada pilihan raya umum yang lepas telah dapat disempurnakan.
Beliau berkata kerjasama antara parti komponen dalam Pakatan Harapan hanya bersifat sementara dan bukan untuk menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya kebersamaan mereka hanya untuk satu matlamat iaitu menjatuhkan kerajaan BN.
“Kita ini tubuh kerajaan yang stabil. Kerajaan yang stabil mestilah yang saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Kalau dah berperang begitu lama, dah kutuk begitu lama, bermusuh takkan la dalam sekelip mata boleh jadi kawan akrab nak tadbir Malaysia.
Ini tak masuk akal. Kalau kita dah kutuk sekian lama tapi demi kepentingan bersama kita lupa segalanya. Ini maknanya kesepakatan sementara sahaja, hanya bersama nak tumbangkan kerajaan BN. Kita tak akan biarkan kerana kita sayang pada masa depan rakyat dan Malaysia. Selagi ada BN, kita akan terus bela untung nasib rakyat,” katanya.
Najib yang juga pengerusi BN mengingatkan rakyat supaya melihat ke hadapan dengan memilih kerajaan yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat dan kerajaan BN telah terbukti mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan.
“Kita tak boleh menoleh kebelakang. Sejarah setiap pemimpin ada peranan dan jasa mereka sewaktu menjadi perdana menteri. Tetapi sekarang ini kita mesti lihat ke hadapan. Malaysia kalau diukur dari sudut pertimbangan ukuran antarabangsa, ramai yang menganggap kita negara model, semakin hari semakin berjaya,” katanya.
Dalam majlis itu, Najib turut meluluskan peruntukan bagi projek pembinaan Masjid Sungai Lokan dan klinik Telok Ayer Tawar. – BERNAMA