MESKIPUN namanya tidak begitu popular seperti artis-artis lain namun Andi Bernadee mula mencuri perhatian peminat menerusi nyanyian parodi lagu Tak Tun Tuang.
Terbaru, jejaka kelahiran negeri ‘di bawah bayu’ itu sekali lagi menjadi perhatian apabila kini tampil dengan single khas sempena Ramadan berjudul Semalam Sahur Di Mana.
Jika sebelum ini Andi mendendangkan lagu berentak balada menerusi single pertamanya Tiada Lagi Maaf, kali ini lagu Semalam Sahur Di Mana pula menyaksikan jejaka itu membawakan lagu berentak hip hop.
“Selalunya masa menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan kita selalu fokus kepada waktu berbuka puasa, seperti nak makan apa atau nak berbuka kat mana. Tapi kali ini kami ingin tekankan tentang kepentingan waktu sahur pula.
“Semalam Sahur Di Mana merupakan rakaman semula daripada lagu asal nyanyian dan ciptaan penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo,” katanya dipetik sebuah portal online.
Katanya lagi, lagu tersebut merupakan single yang dirakam khas untuk meraikan tema ibadah sahur sempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Malah ujarnya lagi, bagi memastikan single berkenaan diterima baik oleh para peminat, susunan muziknya diberi nafas baru oleh Ikhwan manakala lirik pula digubah semula oleh Omar K.
“Dalam lagu asal, muziknya lebih kepada rentak EDM tetapi kami ubah balik lagu ini agar kena dengan citarasa peminat muzik tempatan dan lirik pula sesuai dengan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia,” ujar Andi. – MYNEWSHUB.CC