Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Kambing 2 Muka Dilahirkan...

ISLAMABAD - Satu rakaman video yang memaparkan seekor anak kambing yang dilahirkan dengan...

Lebih 3.26 Juta Permohonan...

KUALA LUMPUR - Lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan diterima untuk...

Kawalan Ketat Sempadan Elak...

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa termasuk di kawasan sempadan negara diletakkan dalam keadaan...

KPT Jamin Tiada Isu...

BANGI - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan tiada pelajar daripada enam kategori...

Raja Perlis Tidak Mahu Menteri Besar ‘Boneka’

ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan keadaan politik di negeri itu berikutan Barisan Nasional (BN) dilihat diselubungi krisis berhubung pemilihan menteri besar.

Dalam titah ucapan pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar di Istana Arau, baginda bertitah baginda dukacita kerana sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir pada upacara itu. Hanya tiga wakil rakyat Pakatan Harapan dan dua wakil rakyat PAS yang hadir.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lepas untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah adalah menyedihkan bahawa apa yang mustahak bagi ADUN BN adalah siapa menteri besar daripada tubuhkan kerajaan negeri dengan melantik anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan membangunkan negeri.

“Pelantikan menteri besar kita mengambil masa yang begitu panjang berbanding negeri lain, boleh dikatakan kitalah yang akhir sekali nak tubuhkan kerajaan negeri, tentu ada sebab tertentu perkara ini berlaku.

“Pada 2008 lebih kurang perkara yang hampir sama berlaku dan makan masa dua minggu (untuk bentuk kerajaan). Ini kerana ada kepentingan sesetengah orang. Saya segan (tidak mahu) sebut nama tapi saya ingat tuan-tuan tahu kerana pada pagi ini sebilangan besar kumpulan itu tidak hadir,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah sehingga semalam, baginda mempunyai dua nama dalam senarai pendek untuk dilantik menteri besar iaitu Datuk Seri Azlan Man dan Datuk Ismail Kassim, adik pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Raja Perlis bertitah baginda tidak mahu mana-mana individu yang dilantik sebagai menteri besar menjadi boneka dan dikawal oleh ‘kuasa luar’.

Titah baginda, baru-baru ini setiap wakil rakyat BN dipanggil menghadap kerana baginda tidak mengenali mereka dan telah mengajukan beberapa persoalan kepada mereka.

“Antaranya saya tanya boleh ke Yang Amat Berhormat (Azlan) dipelawa jadi menteri besar dan kebanyakan mereka kata tak boleh, kecuali dua tiga orang berani kata mereka cuba dan saya tanya siapa paling layak, berikan (nama) kepada saya.

“Jadi bila saya tanya soalan kepada wakil-wakil rakyat itu, mereka dilihat lebih patuh kepada ketua perhubungan UMNO negeri daripada ketua UMNO di peringkat pusat,” titah baginda sambil menambah seolah-oleh mereka berada dalam genggaman seseorang.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda bimbang untuk memilih Ismail kerana baginda tidak mahu pilih menteri besar yang menjadi boneka dan dikawal oleh ‘kuasa luar’.


Baginda bertitah individu yang dilantik sebagai menteri besar bersumpah menyimpan rahsia-rahsia dan jika Ismail dilantik sebagai menteri besar, beliau akan membocorkan rahsia itu kepada abangnya, Shahidan.

“Jadi saya terus terang, saya tidak mahu kuasa luar ‘control’ (kawal) menteri besar, kalau Shahidan nak jadi menteri besar, dia patut bertanding kerusi DUN tapi dia bertanding kerusi Parlimen,” titah baginda.

Shahidan ialah anggota Parlimen Arau. Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, bagaimanapun baginda pada awalnya tidak mahu memanjangkan cerita dan menganggap itu hanyalah syak wasangka.

“Tapi tengok pada hari ini, syak wasangka saya jadi 100 peratus betul sebab sembilan wakil rakyat BN tidak hadir (pada upacara angkat sumpat) kerana dikawal oleh seorang, tarik semua pergi Kuala Lumpur dan tidak mahu beri penghormatan untuk hadir pada majlis ini,” titah baginda.

Baginda turut menyatakan bahawa tidak tahu mengapa semua ADUN BN berkenaan tidak hadir sedangkan undangan diedarkan dua hari lalu dan semua mereka berada di Perlis ketika itu.

“Ini yang saya bimbang dari awal tapi hari ini syak wasangka ini betul. Ini perkara kecil tapi kalau dibiar, lebih pada ini lagi akan berlaku. Saya harap tuan-tuan faham apa yang saya nak sampaikan.

“Saya suka Perlis maju dan rakyat dapat faedah, semua lapisan rakyat tak kira bangsa dan agama. Dibimbangi takut silap pilih menteri besar cuma satu kumpulan sahaja akan dapat faedah.

“Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap, saya dedahkan apa yang tak patut saya kata, tapi itulah perasaan saya… dengan cara ikhlas saya harap rakyat negeri ini faham pilihan saya,” titah baginda. – BERNAMA

Kategori