TINDAKAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil portfolio Menteri Pendidikan mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat tentang dasar pro-Bahasa Inggeris beliau.
Mahathir bertanggungjawab memulakan dasar pembelajaran subjek matematik dan sains di sekolah rendah dalam bahasa Inggeris (PPSMI), yang mula dilaksanakan pada tahun terakhir pemerintahannya, pada 2003.
Pelaksanaan semula PPSMI ialah salah satu rancangan yang dipertimbangkan oleh Pakatan Harapan sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Pelaksanaan dasar ini dikatakan bertujuan meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris pelajar sekolah melalui pembelajaran subjek yang penting.
Akademik, aktivis bahasa Melayu, budayawan dan wartawan bergabung tenaga menentang dasar diperjuangkan Mahathir itu, yang dianggap menghina bahasa kebangsaan dan mengagungkan bahasa asing.
PPSMI dikritik kerana tidak difikirkan dengan sepenuhnya oleh pakar-pakar, malah terbukti di seluruh dunia bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda lebih berkesan meningkatkan kefahaman dalam sains dan matematik.
Dasar ini ditamatkan di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 dan kemudian digantikan dengan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris secara terpilih, dikenali sebagai Dual Language Programme (DLP).
Pada masa itu, Menteri Pertahanan dalam Kabinet Mahathir kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Menteri Pendidikan.
Program DLP juga ditentang banyak pihak kerana dilihat sebagai jelmaan PPSMI dalam bentuk yang lebih terhad.
Bagaimanapun, pilihan yang diberikan pada ibu bapa untuk memilih dan bukan memaksa secara keseluruhan membuatkan dasar baharu ini tidak ditentang hebat.
Sejurus berita Mahathir mengumumkan memegang protfolio Menteri Pelajaran, netizen dalam kalangan pencinta bahasa terus menimbulkan persoalan sama ada PPSMI akan dikembalikan.
Ramai berasa terkejut dengan tindakan Mahathir mengambil portfolio pelajaran, salah satu kementerian yang ditunggu-tunggu untuk diumumkan.
Ekoran pengumuman Mahathir memegang portfolio Menteri Pelajaran, ramai tertunggu-tunggu pula apakah pelan baharu yang akan dibawakan oleh beliau kali ini. – Mynewshub.cc