GARA-GARA mahu berseronok dan mahukan kelainan empat remaja nekad bermandi di kawasan tali air yang akhirnya bertukar trajedi yang tidak diduga.
Seorang remaja, Muhammad Shahniq Abdul Latiff, 16 lemas ketika bersama rakannya mandi di sebatang parit di Tali Air 7 dekat Sungai Labu, Sabak Bernam petang semalam.
Lapor akhbar tempatan, mangsa dikatakan tenggelam dan tidak timbul ketika mandi bersama rakan-rakanya pada jam 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, mayat mangsa telah berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat.
“Mengikut keterangan diperolehi, mangsa secara tiba-tiba tenggelam dalam parit berkenaan dan tidak timbulkan diri.
“Bagaimanapun, usaha mencari mangsa oleh sepasukan anggota bomba, polis dan orang ramai berjaya menemukan mayat mangsa di bawah rimbunan rumput kangkung kira-kira pukul 6.30 petang berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati punca kematian disebabkan mangsa lemas. – MYNEWSHUB.CC/MIZE