KATA orang, air tangan isteri menjamin kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Jadi di bulan mulia ini, pelakon Shakilla Khoriri semakin mahir ‘berperang’ di dapur demi suami tercinta.
Bagi Shakilla, dia lebih selesa memasak sendiri di rumah semenjak 1 Ramadan lalu kerana suaminya, Fizi Ali tidak gemar makan di luar sekiranya tiada keperluan.
“Bukanlah bermakna kami anti atau tidak suka makan di restoran mahupun gerai. Sesekali, memang kami gemar mencari tempat makan yang sedap sambil menghirup udara luar.
“Tetapi, mungkin disebabkan ketika bujang sudah biasa jamah lauk kedai, jadi sekarang apabila sudah berkahwin, saya semakin rajin ke dapur dan mencuba resipi kesukaan suami.
“Fizi pula jenis tidak cerewet,” ujar Shakilla kepada portal BH Online.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Papa Ricky itu mengakui bahawa suaminya merupakan seorang yang handal memasak, terutamanya jenis masakan kampung.
Namun, itu tidak membuatkan Syakilla berasa tercabar kerana tahun ini merupakan pertama kali mereka berpuasa bersama sebagai pasangan suami isteri.
Tambahnya lagi, dia akan sentiasa memastikan agar dapat menyediakan juadah berbuka puasa sekiranya tidak terikat dengan apa-apa penggambaran.
“Biasanya, suami pun ringan tulang bantu mana yang patut. Kami sama-sama bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur dan pada sebelah petang pula masak juadah berbuka,” ujarnya lagi.
Seperti wanita lain yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, Syakilla berasa sedikit sedih kerana tidak dapat berpuasa bersama keluarganya pada hari pertama bulan Ramadan.
“Sudah tentu saya rindu suasana bersahur dan berbuka dengan keluarga. Meriah sebenarnya apabila semua dapat berkumpul. Jadi, sedih juga pada awal Ramadan lalu, tetapi suara emak di hujung talian mengubat perasaan itu,” katanya lagi.
Shakilla telah diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya yang juga merupakan penyampai radio Suria FM iaitu Fizi Ali pada 18 Februari lalu di ibu kota. – MYNEWSHUB.CC/AH