PENINGKATAN rizab tunai Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada RM164.7 bilion pada akhir Mac 2018 adalah berikutan harga minyak yang memberangsangkan selain penerimaan bayaran dari pelaburan Aramco Saudi bagi projek RAPID Pengerang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, peningkatan sebanyak RM36.5 bilion berbanding RM128.2 bilion pada penghujung 2017 itu jauh lebih tinggi berbanding tahun 2008 semasa beliau mula bertugas sebagai Menteri Kewangan.
Menurutnya, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, beliau amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan agar ia mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran.
“Hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).
“Pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook, Najib Razak hari ini.
Menurut Najib, semua pelaburan itu akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta negara untuk memberi manfaat jangka masa panjang.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini telah menyatakan pemansuhan GST akan dibiayai dengan meminta Petronas, Khazanah dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan.
“Bagaimanapun pendekatan ini adalah rapuh dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek,” katanya.
Najib berkata, keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya, jadi kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan.
Jelas beliau, walaupun harga minyak dunia sekarang agak tinggi berbanding jangkaannya di dalam bajet 2018, negara perlu menjaga jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80 peratus yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015.
“Saya mohon kerajaan baharu ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi bail-outs,” katanya. – myMetro Online