LABUAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berikrar akan terus melakukan transformasi terhadap landskap ekonomi pulau ini melalui lebih banyak pelaburan untuk pembangunan infrastruktur dan aktiviti ekonomi untuk masyarakat tempatan.
Beliau berkata sebagai pusat kewangan antarabangsa dan hab minyak dan gas, Labuan sedang bergerak ke arah menjadi bandar raya pulau bestari, sejajar dengan pembangunan negara.
“Kami serius untuk menjadikan Labuan bandar raya pulau lestari, dengan pelaburan mencurah masuk dari pelabur tempatan dan asing,” katanya pada majlis ceramah di Kampung Sungai Labu, di sini malam tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, Rozman akan mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru iaitu berdepan dengan calon Harapan Rakyat (Harapan), Siti Zaleha Ibrahim, calon PAS, Ustaz Ahmad Junid Aling dan Noor Halim Zaini dari Parti Warisan Sabah (Warisan). – BERNAMA