MUAR – Pergerakan sayap pemuda Parti Pribumi Malaysia (PPBM) berhasrat menggunakan semula nama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah membuat rayuan kepada RoS untuk menyemak semula keputusan awal yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah jabatan itu, Surayati Ibrahim sebelum ini.
Ujar Saddiq, pihaknya percaya wujud campur tangan politik dalam keputusan yang dibuat pada penghujung tahun lalu itu.
“Kami percaya wujudnya campur tangan politik sebelum ini dalam keputusannya.
“Sebelum ini kita lihat Pakatan Harapan pun sudah didaftarkan (diluluskan oleh RoS) dan kami rasa memang patut (untuk menggunakan ARMADA).
“Sebab kita memang ikut undang-undang dan keputusan (untuk menggunakan ARMADA) juga sudah dibuat dalam mesyuarat. Kami berharap ARMADA boleh dihidupkan semula untuk masa depan parti,” katanya memetik portal BH Online.
Saddiq berkata demikian ketika ditemui akhbar itu di Program Sembang Santai dan Bersahur sambil menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Restoran Norsiah, di sini, awal pagi tadi.
Mengulas mengenai penggunaan semula nama ARMADA, Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan bahawa pihaknya sedang menunggu keputusan RoS sama ada dapat menggunakan nama itu atau tidak.
“Kita sudah maklumkan sebelum ini dan saya kini menunggu RoS. Kita berkali-kali dah buat rayuan. Kita tunggu keputusan rasmi (daripada RoS) nanti,” katanya.
Pada 9 November tahun lalu, RoS mendapati ARMADA tidak berada dalam perlembagaan parti PPBM sekaligus membuatkannya tidak sah untuk digunakan.
Menurut Surayati ketika itu, pengunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti itu sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.
Justeru, kesalahan tersebut dilihat berat dan boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan. – MYNEWSHUB.CC