KUANTAN – Salah faham dan tidak mahir prosedur dan undang-undang menjadi punca kepada kilang besi dan keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd di Taman Industri Kuantan Malaysia China (MCKIP) terlibat dalam dakwaan mencuri air bernilai lebih RM500,000.
Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata syarikat itu telah mengakui kesilapan dan menjelaskan bayaran bil sebanyak RM513,475.70 dan wang sumbangan bekalan air bagi tujuan pemasangan paip bernilai RM610,560 kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Apa yang berlaku adalah silap faham kerana disebabkan pelabur yang tidak biasa dengan persekitaran dan cara kerja di Malaysia membawa budaya kerja yang berbeza, yang mungkin mempunyai piawaian berbeza di China.
“Salah faham juga mungkin disebabkan oleh kesilapan kerajaan negeri sebelum ini yang tidak tegas dalam hal undang-undang dan prosedur yang seharusnya dipatuhi oleh semua pihak tanpa sebarang keistimewaan,” katanya.
Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama pengurusan Alliance Steel di sini hari ini, yang disertai Anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang dan ADUN Semambu Lee Chean Chun.
Alliance Steel diwakili naib komander projeknya Steve Hu dan peguam Jason Ng Kau yang turut bertindak sebagai jurucakap rasmi kepada syarikat itu.
Fuziah seterusnya memberitahu pihaknya komited untuk memastikan semua syarikat di sini mematuhi undang-undang khususnya yang melibatkan rakyat, seperti kegiatan mencuri air yang menyumbang kepada masalah tekanan air rendah di sesetengah kawasan di Kuantan.
“Kami tidak menolak pembangunan malah mengalu-alukan pelaburan termasuk dari luar negara kerana memberi peluang pekerjaan. Namun kami sebagai wakil rakyat harus memastikan segala pelaburan ini tidak ada krompromi terhadap keselamatan dan hak rakyat.
“Saya berharap lebih banyak perbincangan seperti ini diadakan dan kami diberi peluang masuk ke kilang itu dan melihat prosedur amalan mereka untuk pemantauan aspek peralatan, keselamatan pekerja, kesan terhadap alam sekitar dan sebagainya,” katanya.
Fuziah menambah pihaknya juga bersedia untuk mengkaji amalan yang diguna pakai berkaitan kemasukan pelabur asing supaya kesilapan seperti ini tidak berulang di masa hadapan, selain mencari ‘jalan menang-menang’ untuk pelabur dan kepentingan rakyat.
Sementara itu, Jason menegaskan syarikat itu tidak berhasrat untuk mencuri air dan telah membuat bayaran penuh penggunaan air oleh syarikat berkenaan pada 18 Mei, sehari selepas menerima surat daripada PAIP, menuntut pembayaran.
“Kami komited untuk menegakkan dan mematuhi undang-undang dan tidak bersetuju dengan semua dakwaan membabitkan isu mencuri air. Sebagai satu daripada pelabur utama di MCKIP, kami komited dalam peranan kami dalam perbadanan pembangunan pelaburan dua hala antara China dan Malaysia.
“Dengan pelaburan yang besar, kami tidak mahu menanggung risiko melakukan apa-apa amalan salah seperti salah faham sekarang, yang boleh menjejaskan imej kami. Kami tidak sabar untuk terus bekerja dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.
Mengenai tuduhan bahawa syarikat itu gagal mematuhi spesifikasi paip air bergaris pusat 600mm yang diarahkan PAIP, Jason berkata mereka mendapat kebenaran untuk menggunakan dua paip yang bergaris pusat 300mm sebagai bekalan air sementara ke premis itu.
Beliau berkata Suramas Perunding Sdn Bhd, jurutera perunding yang dilantik Alliance Steel telah membuat permohonan untuk menggunakan paip Elsther bergaris pusat 300mm pada 3 April dan diluluskan PAIP pada 18 Mei.
“Paip air bergaris pusat 600mm itu mesti ditempah dan perlu diimport. Kami masih menunggu penghantarannya dari Jerman, besar kemungkinan dalam tempoh empat bulan. Kami berjanji akan menggantikan paip sekarang 300mm kepada paip Siemens bergaris pusat 600mm secepat mungkin sebaik ia tiba di tapak,” katanya. – BERNAMA