MELAKA – Mentaliti ‘Saya yang menurut perintah’ seperti yang meresap luas terutama dalam kalangan pengamal media sebelum ini tidak akan membantu membina Malaysia menjadi sebuah negara vibran, kata pengerusi Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Kerk Chee Yee.
Katanya, pada masa lalu maklumat dikawal dan ditadbir bagi menguntungkan parti pemerintah dan kerajaan ketika itu sementara mentaliti ‘saya yang menurut perintah’ tersebar luas dalam kumpulan itu, sedangkan maklumat adalah hak setiap orang dan setiap orang sewajarnya mendapat akses yang saksama kepada maklumat.
“Media merupakan jambatan yang menghubungkan komunikasi terhad antara rakyat yang diperintah, kerajaan dan pembangkang, dan sebagai petugas bidang komunikasi, menjadi tugas pengamal media mempertahankan prinsip ini.
“Bila kita menafikan suara pembangkang, atau mana-mana orang lain, kita menafikan suara rakyat umum Malaysia. Kurang sopan kalau kita sebagai rakyat Malaysia tidak dapat menerima atau membenarkan pandangan yang bertentangan dengan kita,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan baharu Pakatan Harapan menyokong kebebasan akhbar tetapi jika media sengaja menulis laporan yang boleh mencetuskan ketegangan, hal itu akan ditangani dengan undang-undang khas.
Kerk berkata, dalam menulis laporan, media harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama dan bukan petugas awam atau kerajaan semasa.
“Petugas awam, sebagaimana menurut takrifnya, harus berkhidmat untuk rakyat, memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Kita di sini untuk berkhidmat,” kata beliau. – BERNAMA