TANGGUNGJAWAB mengundi hari ini sedang dilaksanakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia sehingga menyebabkan penyanyi Sasha Saidin tidak dapat menahan sebak.
Sasha pagi ini telah memuat naik posting di Instagram miliknya ketika dia sedang beratur menunggu giliran bagi menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun ini.
Dimaklumkan Sasha telah mengundi di kawasan Bukit Antarabangsa, Ampang bersama dengan keluarganya antaranya ialah Zain Saidin pada pagi tadi.
Malah, penyanyi lagu Jatuh Cinta itu turut tidak dapat menahan sebaknya apabila melihat semangat patrotisme rakyat Malaysia dalam membuktikan kesedaran tinggi yang dimiliki oleh mereka semua.
“Tak pernah lihat Bukit Antarabangsa begini, lihat barisan di belakang ini.
“Saya tidak dapat menahan emosi, saya sungguh bangga dengan Malaysia dan anda semua sangat hebat,” katanya dalam video tersebut.
Keluarga Sasha dan Zain merupakan penduduk di Bukit Antarabangsa dan disebabkan itu mereka telah ditetapkan untuk mengundi di sana pada tahun ini.
Dalam masa yang sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya sepanjang 1 kilometer panjangnya barisan untuk penduduk di Bukit Antarabangsa menunggu giliran mengundi.
Keadaan kesesakan lalu lintas, cuaca yang panas dan kepayahan untuk mencari parkir tidak menghalang penduduk untuk menunaikan tanggungjawab mereka walaupun terpaksa menunggu lama. – MYNEWSHUB.CC/AH