JOHOR BAHRU – Seekor gajah liar betina mati dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Batu 13 Jalan Mersing-Kota Tinggi, berhampiran Hutan Simpan Panti, dekat Kota Tinggi, awal hari ini.
Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Johor, Jamalun Nasir Ibrahim berkata kejadian kira-kira 2 pagi itu dimaklumkan oleh pemandu lori berkenaan kepada pihaknya.
Beliau berkata dari maklumat awal, kejadian berkenaan dikatakan berpunca daripada tindakan seorang pemandu kereta dari arah Kota Tinggi ke Mersing yang tiba-tiba memasang lampu tinggi ketika bertembung dengan sekumpulan empat ekor gajah sedang melintas jalan dari arah sebuah ladang berhampiran ke hutan simpan berkenaan.
“Akibat terkejut, salah seekor daripada gajah berkenaan berpatah balik ke arah ladang lalu dilanggar sebuah lori yang dalam perjalanan dari Terengganu ke Singapura.
“Berikutan pelanggaran, haiwan yang dianggar berumur kurang 10 tahun itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya yang dihubungi hari ini.
Jamalun Nasir berkata bangkai gajah itu sudah dialihkan pihaknya dari tempat kejadian dan akan ditanam hari ini.
Beliau sehubungan itu, menasihati mana-mana pemandu supaya tidak melakukan provokasi seperti membunyikan hon dan memberikan lampu tinggi ketika bertembung dengan haiwan itu bagi mengelakkan ia terkejut dan menyerang mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Beliau berkata pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA