KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkaitan senjata api.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata ahli politik tempatan itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Jumaat.
“Proses reman Jamal dibuat di sebuah hospital swasta selepas pukul 10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Jamal ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, susulan satu laporan yang diterima polis pada 12 Mei lalu menyatakan Jamal dengan sengaja mempamerkan senjata apinya dalam satu gambar yang kemudian tular.
Penahanan dilakukan di hospital tersebut memandangkan pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia berkenaan sedang menerima rawatan di situ. – BERNAMA