Setahun mengubat hati selepas melalui proses penceraian dengan bekas suami, kini penyanyi Mimifly bersedia memberi ruang kepada orang baharu untuk mengenali dirinya.
Dalam masa yang sama, Mimi atu nama sebenarnya Syamimi Amalina Norhisham kini mengakui bahawa dia sedang berkawan rapat dengan jurulatih peribadinya dan mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Hidup saya berubah lepas berpisah dengan bekas suami pada Disember lalu. Secara fizikal saya mungkin nampak kuat, hakikatnya emosi saya tidak stabil.
“Ia membuatkan saya gagal untuk menjaga diri sendiri,” katanya dipetik daripada BH Online.
Tambah Mimi yang merupakan ahli kumpulan One Nation Emcees (ONE) itu lagi, individu tersebut merupkan antara insan yang sering memberi semangat kepadanya supaya kekal kembali aktif dalam melakukan rutin senaman di gimnasium demi kerjaya seninya.
Malah, selepas bercerai, berat badan penyanyi lagu Anak Kampung itu juga meningkat secara mendadak iaitu sebanyak 10kilogram sehingga membuatkan dia bertambah tertekan.
Lebih-lebih lagi apabila ramai netizen menghetam dirinya di media sosial.
“Saya pun ada perasaan dan tidak mampu untuk mengabaikan kecaman berbentuk tubuh badan.
“Waktu saya bersedia untuk membuka hati kepada orang lain, saya ditemukan dengan seseorang yang secara tidak langsung membakar semangat untuk saya turunkan berat badan,” ujarnya lagi.
Tujuan utama Mimi menurunkan berat badan bukan sahaja untuk kurus. Sebaliknya dia mahu mempunyai stamina dan tahap kesihatan yang tinggi untuk kebaikan dirinya sendiri serta kerjaya seninya.
Sebelum ini, Mimi telah mendirikan rumah tangga bersama dengan pengurusnya, iaitu Mohd Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 lalu.
Namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila ditakdirkan untuk berpisah pada penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, kini Mimi telah mula rancak mempromosikan single baharunya berjudul Superfly.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaannya sendiri bersama dengan Omar K, Shazee Ishak dan Audi Mok.
Selain itu, penyanyi berusia 31 tahun itu telah menjadikan senaman sebagai rutin hariannya.
“Syukur saya sudah melupakan kisah perpisahan itu dan kini saya mula bangkit dengan single solo berjudul Superfly.
“Superfly berkisahkan tentang jatuh dan bangun diri ini, serta bagaimana saya mencari keyakinan untuk terus hidup. Boleh dikatakan, lagu terbaru ni menceritakan kisah hidup saya sebagai wanita berdikari,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH