HASRAT penerbit dan pengarah, Sheila Rusly untuk menerbitkan drama popular Dekatkan Jarak Kita bagi edisi raya terpaksa dibatalkan selepas pelakon utamanya, Syafiq Kyle tidak boleh memberikan komitmen.
Ujar Sheila, dia sememangnya kecewa dengan pihak pengurusan pelakon itu apabila diberitahu bahawa jadual Syafiq telah penuh sedangkan pihak produksi Sheila telah memaklumkan mengenai penggambaran itu tiga bulan lebih awal.
Disebabkan perkara itu, Sheila mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penggambaran drama tersebut kerana menganggap tiada guna untuk dihasilkan tanpa kehadiran Syafiq.
Sheila berkata, dia kecewa dengan perkara itu memandangkan skrip untuk drama tersebut sudah siap namun enggan mengambil pelakon lain untuk menggantikan Syafiq kerana menganggap ianya tidak sesuai.
“Jujurnya saya kecewa dengan pihak pengurusannya kerana kami telah memaklumkan tiga bulan lebih awal untuk mendapatkan tarikhnya namun jadual dia penuh.
“Saya tidak mahu ambil pengganti pelakon lelaki lain kerana ia sudah merosakkan keseluruhan cerita asal selain idea menghasilkan Dekatkan Jarak Kita edisi raya telah dipersetujui oleh pihak stesen televisyen,” katanya memetik mStar Online.
Sheila berkata demikian sejurus selesai Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam tadi.
Drama Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. yang menampilkan gandingan Syafiq dan Ayda Jebat merangkul trofi utama menerusi kategori Drama Pilihan.
Bukan itu sahaja, gandingan dua pelakon itu juga berhasil apabila mereka membawa pulang trofi Pasangan Pilihan di DFKL2018.
Dalam pada itu, keserasian dua pelakon itu juga merupakan antara sebab Sheila enggan meneruskan penggambaran tanpa Syafiq kerana tidak mahu mengecewakan peminat yang mahu melihat gandingan Ayda dan Syafiq.
Justeru, Sheila berkata dia berkemungkinan akan menangguhkan projek tersebut untuk siaran Hari Raya Aidiladha dan berharap Syafiq akan menyertai penghasilan drama itu nanti.
“Saya tidak mahu memperjudikan produk saya kerana kualiti dan kepuasan penonton adalah keutamaan saya.
“Drama ini saya simpan, Insya-Allah untuk Hari Raya Aidiladha. Tidak mengapa saya yang kecewa daripada saya buat penonton kecewa,” jelasnya.
Sementara itu, Syafiq ketika ditemui media pada majlis yang sama turut menyampaikan rasa kecewanya kerana tidak dapat memberikan komitmen untuk drama melihatkan kepada jadualnya yang padat.
Bagaimanapun, Syafiq menyifatkan perkara yang telah berlaku hanyalah salah faham dan dia sendiri akan meminta maaf kepada Sheila kerana enggan mengeruhkan perhubungan baik di antara mereka.
“Saya sendiri kecewa sebab tak dapat bersama-sama menjayakan drama itu kerana jadual memang padat bagaimanapun saya kena pandang positif tentang apa yang berlaku.
“Hubungan saya dengan JS Pictures tiada masalah cuma apa yang ditimbulkan hanyalah salah faham dan saya sendiri akan mohon maaf kepada Sheila,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ