PENYANYI Shiha Zikir mendedahkan dia menerima pengurusnya sebagai kekasih selepas pemuda tersebut bersetuju dengan dua syarat yang diberikan.
Pendedahan itu dikongsi oleh Shiha menerusi sebuah entri memaparkan ucapan bersempena sambutan hari lahir pengurusnya yang dikenali sebagai Arul.
Difahamkan, dua syarat yang telah ditetapkan oleh Shiha adalah ibunya perlu mengikut mereka ke mana-mana sahaja selain penyanyi wanita itu mahu menjaga ibu jika mereka berkahwin suatu hari nanti.
Menurut Shiha, dia terbuka hati untuk menerima kehadiran Arul dalam hidupnya selepas pemuda tersebut bersetuju dengan syarat-syarat yang dinyatakan.
Dalam pada itu, Shiha turut berkata dia mengakui selesa menjalinkan hubungan Arul dan menyifatkan pemuda itu sebagai seorang yang bertanggungjawab, berfikiran terbuka dan menghormati orang tua.
Tidak terhenti disitu, pelantun lagu Jagakan Dia itu turut dilihat sempat memuji lelaki itu sebagai pendorong dalam kerjaya seni.
Pada masa sama, Shiha turut mendedahkan dirinya sering diasak dengan persoalan-persoalan ‘panas’ ekoran dia memilih pengurusnya sebagai pasangan.
Namun, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir bagaimanapun enggan melatah sebaliknya dengan tenang menjelaskan dia memang sudah lama mengenali Arul sebelum bergelar penyanyi lagi.
Malah, Shiha memberitahu pemuda tersebut adalah insan yang sanggup berkorban masa dan kudrat untuknya sepanjang tempoh berkenaan.
“Ramai orang ingat Shiha rapat dengan dia selepas Shiha masuk industri sampai ada juga makcik-makcik bawang cakap ‘eh kenapa dia bercinta dengan pengurus dia’?
“Tapi anda silap, Shiha kenal dia sebelum Shiha masuk dalam industri lagi dan dia dan mak lah orang yang tunggu Shiha dekat pintu pagar TV3 dari pagi ke tengah malam waktu Shiha ujibakat Mentor 2011 dulu di mana waktu itulah permulaan Shiha serius dalam industri.
“Banyak masa dan tenaga yang dah dia korban demi nak tengok Shiha capai apa yang Shiha nak,” jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai perancangan untuk berkahwin atau menamatkan zaman bujang, Shiha meminta agar peminat mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.
Wahhh… Manis kan? Apapun, kami di Mynewshub mendoakan yang terbaik buat pasangan ini dan kenduri nanti jangan lupa jemput ya! – MYNEWSHUB.CC/AM