VALLETTA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus kepada alam sekitar mendakwa transaksi jual beli spesies burung pandai menyanyi di Malta bukanlah perkara baharu, lapor agensi berita China Xinhua.
BirdLife Malta berkata akhbar melaporkan bahawa sindiket penyeludupan burung yang beroperasi di pulau itu berjaya dibongkar oleh polis, namun hanya selepas ia telah menyeludup beribu-ribu ekor burung.
Polis Kesatuan Eropah (EU), Europol, berkata spesies burung yang jarang ditemui serta dilindungi kini dijual kepada pemburu haram dan restoran di seluruh Itali sebagai sebahagian daripada rangkaian penyeludupan yang dikaitkan dengan Malta.
Akhbar Times of Malta memetik sumber polis sebagai berkata sindiket itu telah lama beroperasi dan pihak berkuasa tempatan telah merampas penghantaran unggas terbabit dari semasa ke semasa.
“Ini adalah sesuatu yang kita sedari. Burung terbabit dibawa masuk ke pulau ini secara haram dari Sicily dan dijual sebagai umpan atau kepada penggemar,” kata sumber itu.
Ketua Birdlife Malta, Mark Sultana, berkata terdapat insiden di mana spesies burung ciak dijual secara haram dari kedai haiwan peliharaan di Malta dan Gozo serta pasar minggu di Floriana.
”Keputusan Mahkamah Keadilan Eropah berhubung penangkapan burung boleh menjadi pengubah strategi kepada pemburuan haram di pulau ini kerana ia mampu menghentikan perdagangan haram spesies burung pandai menyanyi.
“Perniagaan penyeludupan burung jenis ini adalah menguntungkan.
“Sindiket terbabit telah menyeludup kira-kira 13,000 ekor burung dengan anggaran nilai sejuta euro di seluruh Itali dan Malta,” katanya. – BERNAMA