SINGAPURA – Singapura melahirkan rasa kesal berhubung pembatalan sidang kemuncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un yang dijadualkan berlangsung pada 12 Jun di sini.
“Singapura berharap sesi dialog dan usaha untuk mewujudkan keamanan serta kestabilan berterusan di Semenanjung Korea akan diteruskan,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Khamis.
Dilaporkan Trump membatalkan sidang kemuncak 12 Jun itu melalui surat yang dialamatkan kepada Kim. Surat itu kemudian dimuat naik di laman web Rumah Putih pada Khamis.
Kira-kira dua minggu lepas, Trump mengumumkan tarikh dan lokasi bagi pertemuan bersejarah itu melalui akaun Twitter beliau.
Pada 10 Mei, Singapura berkata negara itu bersedia untuk menjadi tuan rumah pertemuan julung kali bagi kedua-dua pemimpin tersebut. – BERNAMA